PERANAN SUKAN DALAM MENYATUPADUKAN PERPADUAN KAUM

 Peranan Sukan Dalam Menyatupadukan

 Perpaduan Kaum


Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa. Zaman bola sepak negara tahun 1980-an pasti tidak akan lupa kepada Allahyarham Mokhtar Dahari, Hassan Sani, V Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Torai Raju, Wan Jamak, V Gunalan, Zainal Abidin dan Khalid Ali. Walaupun tidak dinafikan sukan juga menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola sepak luar negara, namun sering kali kita melihat sukan akan menjadi alat perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan termasuk fahaman politik masing-masing. Ketika Perang Dunia Kedua, sukan menjadi alat untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan tempat penyatuan negara-bangsa yang boleh bersama walaupun mempunyai latar belakang pemerintahan dan struktur tadbir urus berbeza.

Seterusnya, dalam sukan badminton, Malaysia melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988 dan 1990; sejarah yang mash terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan aktiviti sukan negara. Perpaduan dalam negara yang rencam menjadi indikator penting agar sukan tidak menjadi alat politik tetapi menjadi alat penghubung keseluruhan warganya. Sukan sebagai alat perpaduan harus diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai ruangan termasuk sekolah dan kawasan penempatan. Pencapaian di kesemua

peringkat yakni kampung, daerah, negeri dan nasional serta antarabangsa mesti diperluaskan supaya Malaysia akan menjadi gah sebagaimana Jepun dan Korea Selatan yang satu ketika dahulu di belakang Malaysia. Mutu pencapaian di peringkat antarabangsa banyak bergantung kepada organisasi dan bukan semata-mata atlet yang terlibat.

Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat; tetapi juga segenap lapisan stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh. Ini kerana sukan merupakan antara mekanisme penting dalam melentur semangat 'kekitaan'. Dalam membangunkan prestasi sukan, ia sekali gus juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan

'kemajmukan' bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta 'semangat satu negara, satu matlamat'.




CONTOH SEMANGAT SATU NEGARA,SATU MATLAMAT

Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini. Sukan adalah 'penjana' dalam mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini di bawah prinsip 1Malaysia.


CONTOH GENERASI SIHAT DAN CERGAS


Comments

Popular posts from this blog

PERANAN IKON SUKAN DALAM MEMUPUK PERPADUAN

DEFINISI SUKAN DAN PERPADUAN